Monday, September 18, 2006

Perlis Juara Piala Malaysia.





KUALA LUMPUR 16 Sept. - Perlis menjulang trofi kejohanan bola sepak Piala Malaysia buat kali kedua dalam sejarah pertandingan itu selepas menewaskan Negeri Sembilan Naza 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini malam ini.

Kali terakhir Perlis menjuarai kejohanan berprestij itu ialah pada kempen edisi 2004 dengan menewaskan Kedah 1-0 di stadium yang sama.
Dua gol skuad kendalian jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim itu dijaringkan oleh dua pemain import dari Zambia, Philimon Chipeta dan Zacharia Simukonda, masing-masing pada minit keempat dan 76.
Sementara gol NS Naza dijaringkan oleh penjaring terbanyak mereka dari Cameroon, Christian Bekamengo pada minit ke-82.

Di hadapan kira-kira 40,000 penonton, Chipeta menanduk masuk gol pembukaan hasil bola lontaran ke dalam oleh pemain tengah, Adrian Jurad Chamrong dari sebelah kiri gawang Negeri Sembilan.
Bola tandukan Chipeta mengenai tiang gol sebelum menerjah jaring, sekali gus menewaskan penjaga gol NS Naza, Azizon Kadir.

Lontaran bola oleh Adrian yang menghasilkan gol itu dianggap 'ulangan' kepada gol Perlis sewaktu menentang Kedah pada perlawanan akhir 2004 itu.
Semasa perlawanan tersebut, Adrian melontar bola ke tengah gawang Kedah yang terus menerjah jaring tanpa disentuh oleh mana-mana pemain.
Adrian turut mencipta gol kedua skuad naib juara Piala FA itu musim ini. Bola sepakan percumanya dari jarak 30 meter terus ditanduk masuk Simukonda.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home